8 Februari 2014 merupakan tarikh kembalinya Silwayd beraksi setelah sekian lama menyepi. 5 tahun. Bukan sekejap. Rasa seperti mimpi bila dapat bersatu kembali bersama komrad. Sungguhpun ada sebilangan rakan/bekas anggota Silwayd yang tidak dapat hadir, line up reunion kali ini dirasai cukup padu untuk mengembalikan gelombang aura muzik yang pernah hilang seketika dulu dari tempat asalnya, Kuching. Ini cerita dari awalnya.
Silwayd dikenali sebagai band Borneo Pop (term yang diangkat dari band idola mereka, Nicestupidplayground) yang berasal dari bandar Kuching, Sarawak. Bermula sekitar 2005 setelah Adim Alibaba keluar dari band psikadelik pop Farrah, lalu mula menulis lirik dan mengolah lagu mengikut citarasanya ketika itu, genre Elektronika. Nama asalnya adalah Sillhoutte (diambil dari perkataan silhouette, namun diubah ejaannya dengan membuang huruf e sebelum t).
CD demo pertama, Sillhoutte – For Saints, Sinners and You lahir pada tahun 2006 dengan bilangan yang terhad dan hanya dirilis untuk rakan-rakan. Sillhoutte juga pernah dikritik di dalam majalah muzik underground tempatan, R.O.T.T.W. kerana sarat dengan sampler. Demo kedua pula berjudul Poppaganda dirilis pada tahun berikutnya 2007. Kurang yakin dengan kemampuannya bergerak solo, Adim Alibaba bertukar arah kepada genre Britpop, muzik asal yang digemarinya bersama-sama dengan Edwin Jang Joseph (Paradoxical Opinion) dan Zamry Jaafar (ex-United Kids of Oi! / The Rudeboy). Ketika itu mereka menggunakan nama Bulletcast Members sebelum ditukar kembali kepada Sillhoutte.
Demo For Saints, Sinners & You - 2006
Foto terawal Silwayd, sekitar tahun 2007. Dari kiri; Zam, Edwin & Adim
Lagu pertama dihasilkan ialah ‘Sleeping Lullaby’ yang hanya mengambil masa semalam untuk disiapkan (Sleeping Lullaby pernah dinyanyikan oleh Adim Alibaba bagi mewakili UiTM dalam pertandingan nyanyian peringkat Universiti seluruh Malaysia anjuran International College of Music di Pulau Pinang tahun 2007 dan berjaya meraih tempat ketiga).
*Adim Alibaba dan rakan-rakan mewakili UiTM mendendangkan Sleeping Lullaby dalam pertandingan nyanyian anjuran ICOM dengan tema UNITY IN MUSIC, 2007 di Penang dan berjaya mendapat tempat ketiga.
Dua lagu seterusnya dihasilkan setahun kemudian, Beauty Scenery dan Borneoland ciptaan Edwin Jang yang telah dirakam di Kuching manakala lirik dicipta serta vokal dirakam berasingan oleh Adim yang pada ketika itu masih belajar di UiTM Shah Alam. Videoclip eksperimental Sleeping Lullaby juga telah dirakam oleh Adim dan rakan-rakan UiTM pada 2007 dan dimuat turun ke dalam Youtube.
*Silwayd 2007: Khairul Azmin, Edwin Jang Joseph, Adim Alibaba, Mohammad Topiq & Mohd Faizal.
Sillhoutte lengkap sebagai sebuah band apabila Edwin Jang merekrut Khairul Azmin (bassis Paradoxical Opinion), Mohd Faizal (drummer Farrah) & Mohammad Topiq (gitaris The Leaf) selepas kembalinya Adim bercuti semester untuk bersama. Demo New Chapter dirilis pada tahun 2008 (Tracklist: Beauty Scenery, Sleeping Lullaby & Borneoland). Nama Sillhouette ditukar kepada Silwayd. Berikutan itu Demo ini pernah dirilis semula setahun selepas itu dengan menukar nama pada cover CD. Bermula dengan demo ini, mereka mula mengorak langkah.
Demo pertama Silwayd, nama lama.
Demo yang dirilis semula, menggunakan nama baru.
Persembahan pertama Silwayd ialah di Miami Bar pada tahun yang sama, 2008 di Kuching. Melalui laman social Myspace pada ketika itu, Silwayd memperkenalkan muzik mereka sehinggalah mendapat perhatian sebuah rekod indie, First Stance Records yang bertapak di Kuala Lumpur.
Silwayd berhijrah ke Kuala Lumpur pada penghujung 2008 dan dianggotai beberapa line up baru antaranya Mohd Bidari (keyboardist Zoo) dan Dessroll Wanara (drummer). Posisi basis diambil alih oleh Zamry Jaafar yang pernah bersama di awal penubuhan band (Bulletcast Members). Bersama dengan First Stance Records selama setahun lebih, Silwayd pernah membuat persembahan di JB, Ipoh, sekitar Lembah Klang (Bijou Bazaar @ Eco Film Fest 2008, Satu Suara Concert @ One Utama, Gig @ City Mall JB, dll.) dan rancangan TV antaranya RTM1 Selamat Pagi Malaysia, Homegrown 8TV dan B-Spot Talkshow di TV9.
Bersama manager, Diky Iskandar @ Dickhead
B-Talk, 8TV
Eco Film Fest @ Aswara, 2008
Satu Suara @ 1 Utama, 2009
Selamat Pagi Malaysia, 2010
Rakaman mini album Silwayd yang dirancang bersama First Stance Records tidak berjaya dihabiskan berikutan masalah dalaman yang tidak dapat dielak. Silwayd ketika itu dibantu oleh Omar Drostan Clement (band Zoo/Nerd) setelah ketiadaan Edwin. Trek-trek dari rakaman yang terbengkalai telah diolah semula dan dirilis sendiri oleh Adim pada September tahun 2010 dalam kuantiti yang terhad dan terjual 50 keping CD, hanya pada sahabat-sahabat kenalan terdekat (Tracklist: Dunia Kimia, Roskalas, Doe Eyes, Sleeping Lullaby, Sleeping Lullaby Acoustic). Persembahan terakhir Silwayd ialah di RTM Angkasapuri, Kuala Lumpur tahun 2010.
* Silwayd 2009: Zamry Jaafar, Dessroll Wanara, Omar Drostan Clement, Daie Bidari & Adim Alibaba.
Silwayd berpecah tidak lama selepas Zamry Jaafar keluar dari Silwayd. Adim & Omar Drostan membuat side projek band Jaguan / Tele_Nga, Edwin, Khairul Azmin & Dessroll Wanara aktif sebagai Castmembers / Paradoxical Opinion manakala yang lain membawa haluan masing-masing.
Atas permintaan ramai, Silwayd bergabung semula selepas 5 tahun menghilang. Silwayd telah mengadakan reunion di Kuching dalam Gig Under Influences II pada 8 Febuari 2014 yang disertai oleh beberapa original line up iaitu Adim Alibaba, Edwin Jang Joseph, Khairul Azmin, Mohd Bidari dan Mohd Faizal manakala Alod dan Dave Daveson (The Seeds) membantu menjadi sessionis untuk gitaris kedua dan drummer. Lagu dari demo New Chapter 2008 berkumandang semula setelah sekian lama didahului dengan Sleeping Lullaby, Beauty Scenery & Borneoland. Sudah tentunya bait-bait lirik, "Here we are, in the Borneoland!!!" ditunggu-tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai.
*Silwayd 2014: Adim Alibaba, Khairul Azmin, Daie Bidari, Dave Daveson, Mohd Faizal & Edwin Jang. (Tiada dalam gambar; Yusof Alod)
Discografi:
Demo/EP
1. Sillhoutte - For Saints, Sinners & You (2006)
2. Sillhoutte - Poppaganda (2007)
3. Silwayd - New Chapter (2008) Re-release (2009)
4. Silwayd - Dunia Kimia (2010)
Compilation
1. Indie For Glory Comp. Vol. 01 (2007)
No comments:
Post a Comment